Khamis, Mac 25, 2010

Kalau dah jodoh.....

 
Pagi ini saya nampak bengkak matanya. Katanya semalaman dia menangis. Semakin dia menghampiri hari bahagianya semakin hebat dia diduga. Semakin tertekan perasaannya-semakin gundah hatinya-semakin galau fikirannya. Kata-kata rakan sepejabatnya amat menguji kesabarannya. Kekasih hatinya-bakal suaminya diremehkan.

Wahai kawan sepejabat sahabat saya,

Salahkah seandainya jodoh yang ditetapkan olehNya seorang yang tidak tinggi pelajarannya-tidak hebat kerjanya-kurang kacak wajahnya. Mungkin bagi kamu lelaki itu tiada apa-apa tapi bagi dia lelaki itulah yang bijaksana-yang hebat kerjanya-yang paling manis dimatanya. Bukan semua dijodohkanNya dengan lelaki lelaki bertaraf jurutera-arkitek-doktor. Tidak semua yang bertuah memiliki suami yang memandu BMW-Mercedez Benz-kereta mewah.

Wahai rakan sepejabat sahabat saya,

Bahagia yang kita cari tak sama. Bahagia bagimu ialah ketika kamu dilimpahi wang ringgit berkepuk di kocek-membeli belah barangan mewah yang bukan semua mampu. Tapi bagi kami yang biasa biasa ini bahagia ialah ketika kami dilimpahi kasih sayang-walaupun tidak dimanja dengan wang ringgit-barangan mewah tapi kami masih boleh ketawa. Ketawa yang ikhlas dari hati. Ketawa yang terluah kerana kebahagiaan yang kami rasa. Bukan ketawa kerana melihat ada orang yang buruk pakaiannya-busuk peluhnya-comot wajahnya. Tapi kamu ketawa kerana itukan?Itu ketawa orang orang kaya. Bukan ketawa kami yang tiada apa apa.

Wahai rakan sepejabat sahabat saya,

Saya terpanggil untuk membela sahabat saya kerana saya rasa terlalu amat tesentuh dengan kata-kata yang kamu luahkan pada dia. Kamu tahu hari bahagianya akan tiba kurang lebih satu bulan saja lagi. Tergamak pula kamu meracun fikirannya untuk mencari lelaki yang kononnya lebih baik dari bakal suaminya-yang hebat kerjanya-yang lebih kacak wajahnya. Dia sudah cukup tertekan perasaannya untuk membuat persiapan hari bahagianya. Saban malam diluahkan kerisauannya. Kami sudah tinggal sebumbung hampir sedekad. Sudah saya maklum sedihnya-gembiranya-kesukaannya-ketakutannya. Berapa lama pula kamu mengenalinya?Layakkah kamu menentukan jalan hidupnya? Jika kamu benar-benar sahabatnya, hiburkanlah hatinya bukan menambah galau perasaannya. Saya faham apa yang dia rasa kerana En. Fiance saya juga bukanlah orang yang termasuk dalam kategori lelaki hebat kamu. En. Fiance saya sangat biasa biasa yang bagi orang lain dia tidak punya apa apa tapi bagi saya dia memiliki segalanya. Dialah destinasi bahagia saya. Jadi sekali lagi saya mohon, janganlah kamu memandang rendah pada kami yang biasa biasa ini kerana tingginya darjat manusia itu bukanlah dari harta mewah yang dimilikinya tapi dari luhur hatinya.





:: Rindu pada En. Fiance saya ::



notakaki: Esok hari lahir En. Fiance. Mau beri hadiah apa ya?
Share

Tiada ulasan: